"Assalamualaikum. Selamat membaca perkongsian mengenai dusun-ayah yang terletak di Perak."

Wednesday, December 3

# Dusun tetap Dusun.

Assalamualaikum.





Lama tak de post baru kan...bukan apa cuma memang tak ada cerita baru pun..hahaha. .tapi alhamdulillah, kerja-kerja untuk level kan tanah tu akhirnya siap jugak seadanya. Di tengah tapak dusun dusun tu siap ditambak tinggi sikit. Kot la nanti nak tegak kan pondok  ke..chelet ke ..situ la gamaknya...amboiiii!



Apapun terima kasih la kat sahabat aku, Tn Haji Malik yang membantu meratakan tanah tu serata -ratanya, sampaikan kalau nak main golf pon dah boleh dah. Tak nak main golf..Nak guling-guling pon boleh jugak. ...

Selain ratakan tanah tu, aku dah alihkan anak pokok limau kasturi ke tepi pagar dusun tu.. (tiang pagar sebenarnya ..pagarnya belum siap..hahaha. .). Dah ada 23 pokok dah wei...kalau sepokok tu dapat sekilo sekali petik,  aku boleh dapat 23 kilo.  Kalau 3 ringgit sekilo...23x3=69 hinggit. ..ikut perancangan nya akan ada 50 pokok. ..so aku boleh dapat 150 hinggit sekali petik! Hehehe....berangan!  Tak de arr....bukan itu tujuan aku pon. Pokok limau tu sebenarnya sebagai penyeri atau penghias pagar jer...nk tnm pokok bunga dah tentu tak mendatangkan hasil apa..

Sebenanya bukan pulangan  dalam bentuk duit ringgit jadi keutamaan 'dusun ayah' ni..kalu duit keutamaannya, dengan keluasan sekangkang kera tu..baik aku tanam pokok ketum jer, bapak kawan aku tanam ketum sepuluh pokok jer..3 bulan orang datang petik dapat 3k...tu sepuluh pokok..kalau 100 pokok? Tak 30k boleh dapat? Masuk bulan ke lima terus ke dalam....hehe . ..

Keutamaan aku cuma nak 'Dusun Ayah' ni satu hari nanti menjadi satu tempat menyatukan anak-anak aku tak kiralah samaada aku ada lagi atau pun dah tak ada. Anak-anak terus membesar..akan dewasa dan satu hari akan ada kehidupan sendiri, ada keluarga dan anak- anak. Di mana diorang nak berkumpul sesekali cuti sekolah?.cuti raya.?..tengok pada trend sekarang, orang balik kampung dah mula tak tido rumah mak ayah..balik hari jer...tak pun tido hotel...sewa homestay! Alasannya. .tak selesa...berebut tempat tidor. ..berebut kipas angin ..tu pun mujur nak balik! Yang tak hingin nak balik pun ada, sebab anak-anak boring nak balik kampung..tak ada apapun kat kampung. .asyik asyik kelapa sawit! Ada durian sepokok dua pun dah kena tebang sebab nak bagi kelapa sawit gemok..tak kan nak makan kelapa sawit? Agak-agak  la  kan..




Tu la sebabnya aku usahakan juga untuk mewujudkan "dusun-ayah"...kecik pun tak apa asalkan ada! Disitu lah nanti anak cucu aku sesekali akan berkumpul...kopek durian di dangau tepi kolam...makan dokong, rambutan, pulasan, manggis di bawah pokoknya sambil minum air kelapa pandan muda.. panjat pokok manggis n pokok pelam...dan malam2 kami akan duduk di meja depan pondok bercerita tentang kesah muda-muda...dan sesekali bila musim buah menjadi,  aku akan jemput sahabat-sahabat lama untuk datang berkunjung, berkumpul di "dusun-ayah" untuk sama2 meraikan hari tua kami dengan kedamaian "dusun-ayah"...disitu la nilainya! Tu sebab tadi aku cakap bukan duit jadi keutamaan...aku tak kesah ada orang kata aku bodoh tebang kelapa sawit tengah keluar hasil..tanam pokok buah buahan yang tak berapa sen lakunya...tak pe..aku bukan nak duit sebagai hasilnya tapi aku nak hasilnya adalah hari tua aku sedamai "dusun-ayah"! Tu jer....sebab aku anak kampung yang tak boleh hidup di tingkat 16 Pangsapuri 3 bilik! Bila mati..nak usung  ke kubor  pun susah...


Ok berbalik pada cerita dusun ayah tadi. ..alhamdulillah 23 anak pokok limau kasturi tu nampak ok...pucuk baru nampak elok tumbuh hijau bila dah di bubuh baja NPK 15+15+15 yang Encik Azuwan  dari Pejabat Pertanian bagi. Cumanya bila last aku tengok semalam dah mula ada ulat daun... Gemok-gemok pulak tu! Apa tak gemuk...baham pucuk muda! Kenapa la ko makan daun limau ye encik ulat. ..bukan sedap mana pon...ce ko makan daun rumput tu...lagi sedap kot! Tak pon ko pegi la bedal daun kelapa sawit  Pak Pian sebelah ni...yang pelepah daunnya menjulur masuk kebun aku tu...yang bila dipotong, pelepahnya dibiarkan menimpa pagar..pas dibiarkan camtu aje..aku pulak yang kena kemaskan. Tak apa Pak Pian.  Nampak sangat  ko dengki dengan aku kan  ..selagi aku boleh sabar...aku sabar la ye. Kot nanti dah hilang sabar aku, ko tahu la nasib ko...

Ok la..takat ni dulu la ye, insyaallah nanti aku update pasal dusun-ayah ni lagi. Ye tak ye...lupa..aku ada perancangan baru untuk dusun ayah ni tau...shhhh! Pasal baru rancang so aku belum bercadang nak war-warkan sekarang...takut tak jadi! Insyaallah bila dah gerak dalam 20% aku akan kongsikan projek mega tu kat blog ni..ok! Semoga dusun ayah menjadi. ..terus folow dusun ayah sampai berbuah ye!

Friday, August 22

# Tapak dah Clear !

Alhamdulillah, syukur Allah masih memberi khudrat dan keupayaan untuk aku buat sesuatu kat atas muka bumi ni..syukur juga kerana Allah masih memberi kesabaran kat aku menghadapi cabaran dan ujian untuk meneruskan impian Dusun Ayah!

Syawal ada lagi, tapi raya abis dah kot...tak ada dah orang jemput rumah terbuka.  Opis aku buat rumah terbuka dua tiga hari sudah. Tapi tak terbuka pun sebenarnya. Kami jer syok sendiri...masak pun kami masak sendiri, yang makan pun kami makan sendiri... cuma yang keluarkan belanja beli barang bukan kami sendiri..yang tu boss kami! Siap sponser bunga api tu..Hehe

Bapak orang lepas gian main bunga api

Lama juga tak update blog ni kan...ada juga benda nak cerita tapi masa agak terhad..sibuk ngan urusan dunia!

Alhamdulillah...tapak dusun ayah dah bersih dah, siap ada kolam ikan tu! semua pokok kelapa sawit aku dah buang habis.  Lapang selapang lapang alam! tunggul sawit pun tak ada dah...yang tinggal cuma dua pokok durian saka..biarlah dia terus jadi saka kat situ..heh!

Kebun dah bersih :)

Kolam ikan yang tak ada air

Ada cerita pasal nak bersihkan dusun tu..tentang perangai manusia! biasa la manusia, macam-macam perangai. Tapi tu la...apa yang nak aku cerita kali ni banyak pasal perangai manusia.. pasal sikap manusia yang dah semakin terhakis nilai baiknya disebabkan duit...dalam kepala diorang ni tak fikir apa dah kot.. duit... duit.. duit.. Memang la kita hidup ni perlukan duit...tu tak apa la...semua orang tahu...cumanya, cara mana kita dapatkan duit tu...tentu ada etikanya..tak kan main langgor ajer, asalkan ada peluang...terus nak belasah. .tak kira walaupun dengan menipu atau kencing orang lain? Agak-agak la bro..

Mula-mula dulu setuju dah, kos tebang pokok sawit tu 30 hinggit sepokok. Tiga puluh pokok maknanya 900 hinggit...ok, tak apa..aku setuju le sebab mustahil sangat kalau aku nak tebang sendiri. Nanti orang kata aku bela antu raya pulak...ada member aku sorang tu tak apa la..dia kata dia tebang sawit guna chainsaw jer..20 ekar, seminggu siap! Lu sembangggg. ..

Balik cerita tadi..bila aku dan setuju dengan harga tu, aleh-aleh dia call pulak...

"Yeop. ..lupa la..900 tu belum masuk tambang loader le...kena tambah lagi 500.."

emmm...nak tak nak...setuju la jugak sebab kepala dah terbayang dusun tu dah bersih. Tapi ...selang dua tiga hari dia talipon lagi..

"yeop kerja levelkan tanah tu..tu kira lain tau, yeop punya pasal kira lump sum le..dua ribu!"

Pulak dahhh. ..dalam hati mula la cari perkataan sesuai cemana nak maki mamat ni...fikir balik...mana pulak nak cari orang lain nanti...tak apa la, setuju aje la...malas nak bising-bising. Tapi aleh-aleh bila aku call nk kompom bila nk masuk...

"Yeop..tanah yeop tu keras ler..kena tambah buget sikit lagi..semua sekali tiga ribu dah la yeop...."

Amboi...tanah keras pulak! Ngko nak korek tanah pakai cangkul apa ke..atau pakai pencebak? Aku amik keputusan..pangkah aje la mamat nih..  Cukup ler tu...tak nak dah berurusan dengan ko...ko cari orang lain untuk ko kencing!

Aku jumpa pulak sorang lagi kawan aku kat kampung, dia kata dia kenal orang yang bawak escavetor ( betul ke ejaan menatang ni..). Ok la..dia kenalkan aku dengan budak tu, bila kami dah tengok tanah tu, budak tu cakap nanti dia call balik bagi tahu berapa kos. Aku bagi no hp n bila dia save kat hp dia, aku suh la dia try call..so nombor dia lekat le kat hp aku pulak.

Malam tu kawan aku tipon aku bagi tau yang budak escavetor tu minta RM2000 untuk semua kerja-kerja bersihkan dusun tu. Aku iye kan aje...lepas kawan aku call tu aku tergerak hati nak call dan tanya budak escavetor tu berapa sebenarnya dia nak. Korang tau budak tu jawab apa?

" Abang bayar saya 1500 dah la bang..sesama kita apa nak kira sangat..nanti saya ratakan sekali tanah tu, tapak abang nak buat pondok tu pun saya tambakkan sikit.."

Selain tu dua setuju untuk tolong aku korek kolam luas lebih kurang 20'X20'!

Wooo. ..kawan aku pun nak kencing aku jugak? sampai 500 dia nak makan...ni la yang aku cakap tadi.  Dah semakin terhakis nilai-nilai baik dalam masyarakat kita. .disebabkan duit kawan sanggup makan kawan. Kawan ni pun kira aku pangkah jugak ler! Zass. .zuzzz!

Tu cerita dua kali nyaris tak kena kencing... akhirnya tapak dusun ayah selamat dibersihkan. Tapi aku kena tambah lagi 350 hinggit sebab korek kolam.  Awalnya mamat tu kata tak apa, dia tolong korek aje tapi entah cemana tiba-tiba dia cakap tokey dia datang bagi tahu kena tambah 350 hinggit.  Aku tak percaya sebenarnya tokey dia yang cakap...aku rasa kawan aku yang nak pow aku 500 tu  yang racun suh minta tambah tu...tak apa la, kalau betul pun aku halalkan....

Kerja-kerja korek kolam ikan



Nak jadi cerita, masa bersihkan kebun tu..Tuan tanah sebelah tu laki bini datang. Dua-dua aku tengok ok...baik dan peramah. Laki dia Polis, yang bini pulak kerja hospital. Si bini ni minta tolong tebangkan ada sepokok sawit kat tepi tanah aku tapi dalam sempadan kebun dia. Mulanya aku rasa berat hati jugak takut abang dia yang tanam pokok tu  marah...tapi si bini ni desak jugak. .tebang aje la!

Betul apa yang aku agak, dua hari sudah mamat yang bawak escavetor tu talipon aku bagi tahu yang abang si bini tu datang kat dia, mengamuk minta ganti rugi pokok sawit dia kami tebang. .hayoookkk!! Aku call dia balik malam tu, terangkan adik dia yang minta tolong aku tebangkan. Aku tak minta dia bayar upah tebang pun dah untung. Dia dah termalu...dia ubah pulak tajuk lain. .dia tuduh pulak sempadan aku dah termasuk ke tanah adik dia...dia kata tu pasal tanah aku jadi lebar kat belakang... pulak dah! Dah macam Israel la pulak..

Lastly..aku pulak jadi hangin...aku dah keluar 500 hinggit bayar kat orang pejabat tanah untuk dapat sempadan yang betul, juru ukur dah datang pacak tanda sempadan berdasarkan pelan Jupem, siap penguatkuasa PTG datang sekali, tetiba dia sedap mulut tuduh sempadan aku masuk kebun adik dia? Dia ingat aku bangang sangat ke suka-suka pacak  sempadan tu ke? Dia ingat aku ni jahil sangat ke nak belasah tanah orang?

Aku geram, aku terus bahasakan dia...aku nak tanam pokok atas tanah orang pun tak berani, ni pulak nak amik tanah orang..aku tak nak mati nanti lubang kubur sempit..gini la kalau tak puas hati ko panggil la juru ukur bertauliah..ko ukur la balik. .tapi kosnyer ko bayar la sendiri! Dia jawab...

"...ok2..tak apa la...nanti la tengok macamana.."

Aku dah hilang hormat kat mamat nih...sedap mulut tuduh orang..macam la aku ni kemaruk tanah sangat sampai tak kira tanah orang!

Berbalik pasal kerja bersihkan tapak kebun tu..pokok sawit abis dah tebang tapi entah macamana..escavetor tu pulak rosak..roda rantai dia tak jalan sebelah! ..tanah tak sempat nak level lagi. ..janji nak tambak tanah kat tapak nak buat pondok tu pun tak sempat buat...tadi aku text mamat escavetor tu, dah boleh sambung siapkan kerja tak? Korang tahu apa di jawab? Tu kat bawah tu...

SMS budak escavetor

Dia yang janji nak buat kerja-kerja level dan tambak tanah tu dan aku dah bayar habis kerja-kerja yang dia janji nak buat tu..dia cakap dia rugi sebab mechine dia rosak. Sampai nak beli diesel pun tak cukup duit. Kompius jugak aku.mechine dia rosak bukan salah aku pon..bila aku tanya aku nak kena tambah lagi ke untuk sudahkan kerja dia tu..dia tak jawab sampai sudah..aku balik semalam..tapak dusun tu kekal macam tu jugak..tidak rata dan tidak ditambak..aduhai susah juga berurusan dengan puak2 nih...sabar aje la...tolong aku weiiiii. ..

Escavetor rosak.




Tuesday, July 29

# Hari Raya Special Edition - Lemang oh Lemang

Hari raya datang lagi, tak kan raya nak pi kebun jugak..tengah mood raya ni kita cerita pasal yang ada kena mengena dengan raya la pulak ek. ..meh kita cerita pasal lemang nak? Baru raya...

Tahu kan apa lemang? Hehe...pulut yang dimasak dalam buluh..tu le lemang! Mesti pulut tau! Kalau ayam yang dimasak dalam buluh. ..tu bukan lemang tapi orang panggil...Pansuh!  Manuk Pansuh. ...

Pernah tak korang beli lemang..bawak balik umah, anak bini dah keliling mengadap sambil telan air liur...tiba2 bila belah. ..tu dia...ada yg tengah-tengahnya tak masak, ada yang tepinya keras mengerak..pernah tak gitu? Atau korang memang tak pernah beli lemang pon...?

Ok..tak pa, kali ni aku nak kongsi cerita cara buat lemang yang mudah tapi insyaallah sempurna sebagai lemang..tidak keras, tidak lembik, tidak berkerak, tidak 'mawur' ( pulut tidak masak semua). Nanti nak buat open house korang boleh buat sendiri. Jimat sikit.

Aku tak raya kat kampung tahun ni, tapi aku tetap balik jugak kampung sehari sebelum raya untuk tunaikan hajat mak aku yang nak aku buatkan lemang dan ketupat. Memang tiap tahun tugas aku tukang masak lemang dan ketupat...pas siap semua aku terpaksa kalang kelibut balik kolumpo. Dapat le aku snap dua tiga keping gambo untuk mudahkan korang faham cemana nak buat lemang cara mudah ni.

Rumah mak aku kat kampung

Pertamanya korang kena tahu bahan-bahan yang korang kena sediakan, kalau korang duduk kampung semua bahan tu ada kat keliling korang.  Kalau kat kolumpo, jangan risau, kat pasar chow kit semua bahan bahan tu ada jual.

Bahan-bahan untuk membuat lemang anggaran 20 batang.. (kalau takat dua batang.. korang beli yg dah siap masak jer la..buang karen!)

1.  Pulut 7 kilo
2.  Buluh lemang 20 batang
3.  Santan kelapa 15 biji
4.  Daun pisang
5.  Garam kasar satu senduk

Bila korang dah dapat buluh tu, korang potong la ikut kesesuaian.  Sebaiknya biar la sama panjang,  nampak la kemas dan pro sikit. Sementara tu beras pulut tu korang basuh dan rendam siap-siap.  Kalau jenis pulut susu, tak payah rendam pun tak apa. Tu sebab aku suka guna pulut susu, cuma mahal sikit la dari pulut biasa.

Proses potong buluh lemang

Basuh buluh lemang
Dah siap potong buluh tu, pi la basuh dan berus sikit dengan sabut biar semua miang miang buluh tu hilang. Dah sudah tu korang pi la cari daun pisang pulak. Sebenarnya semua jenis daun pisang boleh tapi aku suka daun pucuk yang baru nak terbuka dari gulung dia tu. Ada sebabnya, nanti aku cerita ye!

Persiapan operasi daun pisang



Daun pisang yang sesuai untuk lemang 


Dah dapat daun pisang tu, korang potong dan masukkan daun dalam buluh lemang tadi, kalau tak biasa, proses ni rumit sikit.  Silap-silap masa ni korang buat kerja sambil merungut dan salahkan orang yang mencipta lemang nih kerana menyusahkan korang...ni la sebab aku suka guna daun pisang yang muda, daun ni lembut mudah di gulung untuk kita masukkan dalam buluh. Bawah ni ada gambar cemana cara nak buat. Senang jer sebenarnya.

Potong daun ikut saiz buluh ye..

Gulung daun pisang pada pelepah pisang yang dibelah dua
Masukkan gulungan daun pisang


Lepaskan gulungan tadi  kedalam buluh..settle!

Bila dah setle masukkan daun tu, korang pi la parut kelapa, kalau boleh jangan guna santan beli..diorang campur air banyak sangat.  Nanti kurang lemak dan kurang sedap! Dah siap perah kelapa tu maksima dua kali perah dan dapatkan satu cerik besor santan dari perahan 15 biji kelapa tadi. Pandai pandai korang la nak ejas cemana. Kemudian campurkan satu senduk garam kasar ke dalam santan.  Jangan guna garam halus,  terlebih masin nanti boleh jadi pahit. Kalau garam kasar insyaallah tidak akan pahit.

Ok, dah sudah tu korang amik pulut yang direndam tadi...tus kan airnya, dan isi pulut ke dalam buluh yang dah dilapik daun pisang tadi...ops! Jangan isi sampai penuh sangat ye..tinggalkan dalam tiga inci dari mulut buluh. Kalau penuh sangat nanti bila mendidih lemak santan akan terkeluar..rugi! Ada setengah orang cakap kalau buluh tu dilangkah, nanti santan tu akan terkeluar..tapi aku lagi suka guna logik akal...dah isi pulut penuh sangat. ..bila santan mendidih,  kompom la terkeluar kan....wallahualam!

Buluh lemang yang telah siap di isi pulut dan santan

Selesai isi pulut dalam buluh tu korang bolehlah masuk buluh tu dalam periuk besar macam dalam gambar bawah ni. sebelum ni aku guna tin biskut yang besar tu, tapi sekarang untuk lebih mudah, aku guna periuk yang aku tempah masa ada operasi kat kelantan 2011 dulu. So, sah-sah la korang tak ada periuk ni kan...jangan susah hati..guna cara konvesional...ambil 2 tin biskut yang besar tu potong bahagian penutupnya, satu untuk periuk dan amik satu lagi untuk bahagian penutup.  Jangan jadi kawan aku...ada ke dia cakap "aku dulu guna tong drum...." nampak sangat nak ngencing aku....bedaah bebeno! Agak agak la weiii. ...

 Siap sedia untuk di masak

Ok, selesai tu korang bolehlah tuang santan tadi ke dalam buluh sampai pulut tu tenggelam.  Jangan lupa kacau dulu santan tu sebab garamnya dah mendap ke bahagian bawah tu...boh sekilo garam pun, lemang korang tetap tawar kalau gitu.

Dah sudah tu, korang isi air sampai setengah periuk,  tutup periuk dan biarkan lebih kurang 2  jam. Sesekali korang bukak le periuk tu, check tengok airnya...kalau kurang,  tambah la. Pulut dalam buluh tadi akan masak secara kukus atau steam.

Bila agak2 dah dua jam atau lebih, korang keluarkan lemang tu dan terus bakar kat bara api macam kat bawah ni. Proses ni adalah bagi mengeringkan lemang dan memberi aroma lemang bakar.  Jangan bakar lama sangat!  Setengah jam pon dah cukup..pulut dh masak tu cuma kita nak keringkan ajer...sambil tu korang pusing pusing le lemang tu bagi sekata.


    Lemang disalai pada bara api untuk mengeringkan santan dan buluh.  

Siap untuk dibelasah.
Selesai la proses membuat lemang mudah tapi rasanya insyaallah sempurna sebagai lemang! Cicah dengan sambal goreng jawa atau rendang ayam pencen.... Selamat mencuba mengkome!



p/s: Gambar bonus Menantu rock dan bapak mertua di pagi raya (anak aku cakap, ayah mcm bad boy tengah gaduh ngan tok wan! Hahaha! )

Wednesday, July 23

# Persediaan Menanam

Alhamdulillah,  
Segalanya berjalan elok, masih mengikut perancangan walaupun slow. Anak pokok yang dikumpulkan semua hidup subur. Cuma ada sepokok anak dokong dan sepokok anak durian yang daunnya banyak yang kuning dan gugur. Mungkin panas agaknya.  Tapi alhamdulillah,  anak dokong tu berjaya dipulihkan dengan meletakkan di tempat teduh. Cuma anak musang king yang masih agak kritikal. Harap-harap anak musang tu kembali pulih tak lama lagi.

Anak Pokok Dokong yang berjaya dipulihkan!

Anak Pokok Musang ini masih kritikal!

Memang mencabar untuk memastikan kesinambungan hidup anak pokok yang didatangkan dalam polybag 8cm.  Aku dah salin ke polybag 14 cm bagi menjamin akar anak pokok terus membiak supaya pembesaran anak pokok tidak terbantut.  Anak pokok disiram pagi dan petang selain semburan racun serangga seminggu sekali.

Anak Pokok dalam polibag 8cm.
Anak Pokok yang telah diubah ke polibag 14cm.

Aku belum lagi mula memberi baja tambahan kepada anak-anak pokok. Ini sebab madium semaian yang aku guna adalah campuran tanah bakar dan serat kelapa sawit yang telah sedia dicampur dengan NPK. Aku rasa ianya memadai setakat ini. Mungkin untuk bulan berikutnya aku akan mula memberi sedikit baja organik sebagai nutrien tambahan pada anak pokok tersebut.

Aku ada minta Hisham dapatkan sepuluh lagi anak pokok limau kasturi sebagai tambahan kepada yang sedia ada. Anak limau ni aku cadang nak tanam di sepanjang pagar sebagai hiasan pagar serta menguatkan tebing parit bagi mengelakkan tebing parit tu runtuh. Rasanya aku perlukan lebih kurang 40 hingga 50 pokok limau untuk di tanam sepanjang parit tu dengan jarak 10 kaki.


Anak Pokok Limau Kasturi.

Terbaru, aku dapat benih pokok kelapa pandan...baka original Thailand! Terima kasih Encik Ishak dari Pusat Perkembangan Komoditi Hutan Melintang. Aku dah dapat 20 anak pokok kelapa pandan tinggi lebih kurang 2 kaki. Mungkin aku akan gunakan sebagai pokok lindungan jika sesuai. Sebenarnya,  kelapa pandan tidak ada dalam perancangan asal tapi aku tertarik bila melihat pokok kelapa yg rendah, rendang tapi berbuah agak lebat dan bulat. Meleleh air liur dibuatnya. .puasa pulak tu!

Kelapa Pandan

Di sepanjang Ramadan ni, aktiviti membangunkan dusun agak slow, aku lebih fokus kepada kerja-kerja penyenggaraan anak pokok dan mencari bahan rujukan, panduan dan kaedah penjagaan pokok sebagai persediaan. Alhamdulillah, setakat ini tidak timbul masalah untuk mendapat dan mengumpul bahan yang sesuai.

Insyaallah selepas ini aku akan kongsikan bahan-bahan rujukan dan panduan tersebut untuk pengetahuan kita bersama.  Mana tahu mungkin dapat membantu kawan-kawan lain nanti.

Antara panduan tersebut adalah:

1. Panduan Menanam Petai
2. Panduan Menanam Rambutan
3. Panduan Menanam Limau
4. Panduan Menanam Durian
5. Panduan Menanam Ciku
6. Panduan Menanam Dokong
7. Panduan Menanam Mangga
8. Panduan Menanam Belimbing
9. Panduan Menanam Nangka
10.Panduan Menanam Kelapa

Monday, July 14

# Seedlings & Saplings

Huhhh, sekarang ni boleh tahan musim panaskan... berbahang!  Mujur aku belum mulakan  kerja-kerja alih anak pokok ke dusun.  Nak alih macamana,  Nayan belum tebang lagi kelapa sawit kat tapak dusun tu...camana la Nayan nak tebang, aku belum bayar lagi...camana aku nak bayar..modal tak cukup lagi...hahaha. ..

Tapi tak apa..aku banyak masa lagi, 14 tahun lagi nak pencen..hehe..Insyaallah segalanya akan berjalan mengikut perancangan.  Ehhh. .aku tak cerita lagi apa perancangan aku kan...simple jer:

1. Kenalpasti sempadan.
2. Pagar sempadan
3. Cari dan kumpulkan anak pokok
4. Tebang pokok kelapa sawit dan bersihkan tapak dusun.
5. Siapkan pagar
6. Bina pondok dan saliran
7. Mula alih anak pokok ke tapak dusun
8. Penyenggaraan

Simple jer kan...iye la atas kertas memang simple, nak diterjemahkan jadi kenyataan tak tahu lagi masaalah yang jumpa. Tapi tak apa, aku akan buat satu persatu. .slow-slow pun tak apa, macam pepatah jawa dulu-dulu. .."alon alon. ..janji kelakon! "

Sekarang pun aku dah stage 3 dah. Kumpul anak pokok yang aku nak tanam kat Dusun-Ayah. ..Alhamdulillah,  sekali lagi Allah permudahkan urusan aku. Terima kasih brade Hisham dari Puchong yang banyak tolong aku cari anak-anak pokok tu.  Mula-mula aku dapat anak pokok durian lima pokok. .2 musang king, 2 udang merah dan 1 IOI. Selain tu aku dapat jugak 2 ciku mega, 1 ciku Swiss Malaya dan 2 Ciku subang. Tengah ada tu, aku ambil sekali 5 anak pokok dokong baka Muar.



2nd intake aku dapat 2 anak rambutan baka anak sekolah,  1 baka gula batu dan 2 baka rambutan gading. Dapat jugak 2 anak pokok pulasan dan 2 anak pokok nangka madu. Wahhh...meriah ni kan!


Dalam masa yang sama aku semai sendiri biji mangga yang aku beli kat Sekincan. Mangga King Abang Jakpo pun aku semai juga, Alhamdulillah nampak elok naik tu.  Tapi anak pokok dari biji semai ni lambat buah kan...tak apa la, nanti aku dapatkan juga yang cantuman tunas.

Seterusnya aku dapat 7 anak pokok petai..iye..petai! Pelik ke dusun ada petai? Ala...belasah ajer la...aku beli juga 1 anak pokok mangga cukanan, 2 mangga madu dan 5 anak belimbing madu. Cuma frust jugak. .kirim anak pokok mangga Harum Manis kat Che Khai tak dapat!  Dia kata Harum manis tengah panas kat Perlis la nih...adik dia tanam depan rumah pun orang korek curi!


Lalu kat Tambun masa kat kerja kat Ipoh hari tu sempat jugak aku beli 2 anak pokok limau Tambun. Satu baka putih, satu baka merah.

Terbaru ni aku dapat 2 anak pokok limau purut (dah kena kitai pun daunnya. .bini aku wat masak tom yam..) 10 anak pokok limau kasturi dan...korang jangan ketawa...aku dapat 2 anak pokok anggur!  Serius nihhh. ..1 benih anggur hijau, satu anggur merah. 





Aku rasa cukup dulu koleksi anak pokok aku dah kot....takut tak cukup tanah nak tanam! Yang lain nanti kita cari kemudian. Aku terfikir juga nak buat taman herba ke keliling pondok nanti. Biar anak-anak kenal pokok herba (aku pun bukan kenal sangat pon...hahaha..) Tengok nanti macamana...




Semua anak pokok ni aku letak kat belakang rumah dan aku tukar polibag besar sikit sebab lama lagi nak dialih kat dusun tu.  Silap-silap sempat dia berbuah dulu baru tanam kat tapak dusun tu kot? Untung la kan. ..tanam terus kutip hasil! Hahaha. 

Ringkasan:
1. Durian    - Musang King (2)
                  - Udang Merah (2)
                  - IOI (1) 
2. Ciku   - Mega (2)
             - Swiss Malaya (1)
             - Subang (2) 
3. Dokong baka Muar (5)
4. Rambutan   - Anak Sekolah (2)
                       - Gula Batu (1)
                       - Gading (2)
5. Pulasan (2)
6. Nangka Madu (2) 
7. Mangga   - Cukanan (1)
                    - Madu (2)
                    - King (Semai)
                    - Dari Sekinchan (Semai)
8. Petai (7)
9. Belimbing Madu (5)
10. Limau Tambun (2)
11. Limau Purut (2)
12. Limau Kasturi (10)
13. Anggur (2)

Sunday, July 13

# Orchad's fences in progress

Ok..sambung cerita pasal pagar tu tapi sebelum tu nak cerita sikit kisah masa nak beli tanah ni. Masa tu aku tengah duty kat opis.  Bosan tengok movie kat HBO yang di ulang berpuluh kali, aku browse Mudah.Com sambil berangan, tak sangka pulak ada orang kampung nak jual tanah dalam Mudah.Com. Aku terus PM malam tu jugak..tak jawab pun!  Mana nak jawab, dah pukul 2 pagi!  Hehehe.

Dipendekkan cerita akhirnya si tuan tanah setuju jual kat aku. Tapi pelik sikit, orang beli tanah biasanya tawar dan dapat kurang, aku beli tanah cuba tawar, tapi tuan tanah up lagi 5k! Dia kata silap letak harga, aku cakap tolong le, tu jer duit saya ada, selamba badak je dia jawab.."Saya faham cik, tapi saya pun tu jer tanah yang saya ada.." Nak tak nak setuju jugak. Kalau aku tak setuju tentu aku melepas sebab aku tahu ramai lagi yang menganga tunggu nak beli tanah tu. Lebih lagi si Gayah tu, aku yakin letak harga tinggi mana pun Gayah tak kan tawar punya.


Sebenarnya, tanah tu sedia ditanam kelapa sawit, dah sepuluh tahun kot, sebab hasil pun dah keluar dah. Masalahnya sawit tu bukan tuan tanah yang tanam, orang lain yang tanam. Tuan tanah tu kata, brade yang tanam tu main tanam aje kat tanah dia, hasilnya tak hulur sikit pun, mana tuan tanah tu tak meroyan, last2 dia amik keputusan jual aje.

So sekarang ni aku beli tanah tu. Apa status kelapa sawit tu ye?Aku punya ke? Tak apa la...kalau brade tu bising kata sawit tu dia punya sebab dia yang tanam, bagus jugak. Aku suruh la dia cabut dan tanam la kat tanah dia sendiri.  Tak payah aku susah payah nak tebang sawit. Tanah ni pun aku nak buat dusun buah-buahan,  bukan dusun sawit!  Tapi brade tu tak kata apa pun bila aku jumpa dia dan cakap aku dah beli tanah tu.


Berbalik pasal pagar,  aku dah nekad dah. ..aku buat sendiri!  Memang aku tak pernah kerja buat pagar, tapi dulu masa kerja jaga budak dadah kat Pusat Serenti di Melaka, aku pernah tengok macamana diorang buat pagar ni. Tak la susah sangat rasanya (sebab aku tengok je...mana la susah..ala...nama pun tengok..) aku pun pi la check harga tiang pagar konkrit kat Pekan Langkap.. .RM10.00 sebatang. .boleh la kot...tak mungkin aku nak buat sendiri tiang tu. Nanti tokey tu nak makan apa pulak kan...

Aku congak-congak mau ada dalam 200 batang jugak tiang pagar tu. 200 batang darab RM10.00 sebatang...maknanya buget untuk tiang pagar lebih kurang dalam RM2k jugak ni. Tak apa. ..aku beli sikit - sikit.  Iye la..nak pacak pun bukan sekali gus pun. Buget sekali turun dapat pacak 10 tiang...dalam dua tahun siap la projek pagar aku. Tu diaaaaa. ..dua tahun tu! Hahaha...tak de la kut...


Alhamdulillah, walaupun aku turun kebun seminggu sekali, sebelum puasa hari tu aku dah berjaya memacak separuh dari kebun tu..ok la kan. Aku buat sorang-sorang woo, ada la sekali anak bongsu aku si Aiman tu teman kan...tolong pegang timbang air! Tu pun kena upah 100plus...Bulan puasa aku stop dulu projek pagar. Bukan tak larat tapi aku tak boleh pacak habis..sebab nanti nak buat kerja clearing tanah tu susah pulak. Habis pulak nanti tiang pagar tu jahanam di timpa pokok sawit masa ditebang.

Aiman & 100plus
Aku dah deal dengan Nayan, dia dah setuju untuk buat kerja - kerja pembersihan kebun tu dengan teknik tebang dan tanam.  Budget nya aje belum ada...tak pe. .relak dulu,  Insyaallah ada jalan nya. ..sementara tu aku plan nak kumpulkan dulu benih pokok buah-buahan yang aku cadang nak tanam. Aku tak cadang nak tanam pokok pelik luar tabie atau lain dari orang. Aku nak tanam pokok biasa - biasa aje, antara yang ada dalam kepala otak aku:-
1. Rambutan
2. Durian
3. Ciku
4. Dokong
5. Petai
6. Mangga
7. Pulasan
8. Belimbing
9. Limau
10. Lain yg difikirkan sesuai (kecuali ketum)

Ok, in the next article. Kita sembang pasal proses kumpulkan benih pokok pulak.

# Future & Dreams


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi, dengan izin dan limpah rahmatNya, setelah melalui pelbagai dingdong...akhirnya proses pindah milik tanah di Lot 7779 dapat diselesaikan.  Terima kasih pemilik asal atas kerjasama, dan sanggup balik dari Sabah untuk urusan ini. Terima kasih juga kepada abang Din dari pejabat tanah yang banyak membantu memudahkan urusan. Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan tuan.


Bakal dusun kecil di tepi jalan. Dusun - Ayah

Dengan selesai urusan pindah milik ini, sah sudah tanah ini menjadi milik aku. Walau tidak seluas mana tapi amat bermakna kerana inilah impian dan cita-cita aku sejak dulu.  Memiliki sekeping tanah, ditepi jalan dan berhampiran sungai!  Aku nak buat dusun buah-buahan yang siap ada rumah kecil comel kat tengah dusun tu! Pencen sok aku nak lepak situ. Betul kata sepupu aku..beli tanah ni macam orang nak kawin jugak, kalau betul jodohnya semua akan jadi mudah.






Alhamdulillah, aku bersyukur sangat, iya la...bukan mudah untuk memiliki tanah, lagi pulak di kampung sendiri.  Masalah modal satu hal la, aku bukan berduit sangat...tapi yang jadi masalah utamanya orang yang nak jual tanah pun payah. Tapi alhamdulillah. ..Allah lorongkan dan permudahkan.

Ok, tanah dah ada, sekarang langkah seterusnya.  Selama ni aku cuma berangan..sekarang apa yang di angan-angankan insyaallah akan dilaksanakan selangkah demi selangkah.

Langkah pertama,  
Kenalpasti sempadan. .takut termasuk tanah orang, sempit lubang kubur nanti! Ok, yang ni settle dah kot...dua pegawai dari Pejabat Tanah dah datang dan sah kan sempadan sebenar..selesai.

Langkah kedua
Pagar!  Google punya Google...korang tahu berapa kos untuk pagar?

Credit : Google
Kontraktor pertama: RM19.00 sekaki termasuk upah dan barang.
Kontraktor kedua: RM15.00 sekaki termasuk upah dan barang.
Kontraktor ketiga: RM9.00 sekaki barang beli sendiri.

Sepuluh kaki dah rm190. 00. Seratus kaki dah berapa? Adusss.

Konklusinya, aku tak mampu nak upah orang. Dah tu nak buat macamana? Fikir punya fikir tak ada jalan lain. ...melainkan buat sendiri!  "ishhh...larat ke..reti ke? " Kata kakak aku bunyi macam tak percaya...entah! Memang le aku tak pernah kerja buat pagar...tapi kan aku pernah kerja kat pusat serenti!  Apa kena mengena? Nanti kita la sambung ek...~